Tiga Didakwa, Rompak Warga Emas Guna Parang

PETALING JAYA – Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga emas bersenjatakan parang di sebuah pasar raya, bulan lalu.

Kamarulzaman Mohd Yusof, 31; Mohamad Faris Zahari, 26 dan Syahril Azlan Ghazali, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan menggunakan sebilah parang terhadap penjaga kaunter, M.V. Veeru Maha Lackmi, 64 dan merampas wang tunai RM47 di Pasaraya KK Supermart, No 113, Jalan Gasing, di sini, pada 15 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V V Suloshani tidak menawarkan sebarang wang jaminan bagaimanapun tertuduh Mohd Faris yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur memohon jaminan rendah atas alasan dia tidak berkemampuan.

Kamarulzaman dan Syahril Azlan tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes.- Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/tiga-didakwa-rompak-warga-emas-guna-parang-1.879805


Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*Komentar anda akan di moderasi.